Wednesday, May 16, 2007

Back To Our Roots

Today is Teacher's Day... This is an article written by the chief editor of Utusan Malaysia in conjunction of the Teacher's Day. Let's get back to what used to be important, appreciation and affection

KEMBALI KEPADA IDEALISME PERGURUAN

Rencana Pengarang
KETIKA dunia menyaksikan persaingan sengit dalam usaha meningkatkan pencapaian peperiksaan, kecemerlangan dari segi persijilan, dan memperoleh kerjaya bernilai tinggi, ada baiknya sempena Hari Guru hari ini, para pendidik serta masyarakat diingatkan kembali terhadap idealisme perguruan.

Ini kerana apabila usaha besar-besaran dan bersungguh-sungguh oleh sekolah dan masyarakat untuk menghasilkan modal insan yang berdaya saing dalam era globalisasi, terdapat kecenderungan untuk mengambil ringan elemen-elemen kemanusiaan.

Sesungguhnya misi para guru bukanlah semata-mata menghasilkan modal insan yang dicapai melalui kejayaan memperoleh markah tinggi dalam peperiksaan dan kemampuan mereka mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Dalam pada perkara-perkara itu penting bagi negara membangun yang mempunyai aspirasi untuk menjadi negara maju, tetapi misi guru sebenar adalah sebagai pendidik yang memberi sumbangan untuk melahirkan warganegara memiliki nilai-nilai kemanusiaan bersifat universal.

Di sinilah kejayaan sebenar guru di mana anak-anak muridnya keluar dari sekolah sebagai manusia yang mampu bukan saja berdikari untuk mencari rezeki tetapi juga memiliki kesedaran moral untuk memperjuangkan kebenaran dan melaksanakan keadilan.

Untuk mencapai idealisme perguruan ini, ia tidak dapat dilahirkan melalui program ijazah pendidikan di universiti semata-mata, tetapi sebaliknya ia memerlukan sokongan daripada masyarakat khususnya para ibu bapa terhadap misi sebenar pendidikan sekolah.

Maka sempena Hari Guru ini, anggota masyarakat wajar memberi penghargaan kepada para pendidik bukan kerana kemampuan mereka mengajar dengan menggunakan komputer atau powerpoint, tetapi lebih penting lagi dapat menyemai nilai-nilai murni di kalangan anak-anak murid.

Kita menghendaki pelajar-pelajar yang bukan semata-mata memperoleh belasan A dalam peperiksaan, tetapi juga mereka perlu mampu berfikir, berbudi bahasa, gemar membaca buku, bersemangat untuk meneroka dan bersikap positif.

Sememangnya perkataan-perkataan ini kelihatan seperti retorik dan tidak menjejak pada realiti dunia di mana perkiraan akhir adalah markah A, ijazah, wang ringgit dan gaji serta imbuhan. Tetapi manusia tidak hanya bergantung pada kebendaan semata-mata.

Kita terus memerlukan idealisme untuk mewajarkan kehidupan. Maka bagi guru, idealisme mereka adalah usaha untuk melahirkan generasi akan datang yang bertamadun.


*sometimes the ideal can be the real deal*